Saturday, February 20

FORUM ULBS F5

ROKOK- 'Setiap Sedutan Membawa Padah'
Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, Alhamdulillahi robbil ‘alamiin, wassolatu wassalaamu ‘alaa asyrofil anbiyai wal mursaliin.. wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’iin.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia.
Warga dewan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya, dapat kita bertemu lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya Fatin Shahirah BT Abu Hasim pada pagi yang berbahagia ini.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel pada hari ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh dikatakan berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini iaitu Rokok- 'setiap sedutan membawa padah' Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai pembuka pintu-pintu kecemerlangan sikap seseorang remaja di mana-mana sahaja khususnya dalam persoalan mengatasi masalah ketahanan diri seseorang pelajar.
Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini.
Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama saudari Nurul Asyikin Bt Ruslan, salah satu ahli panel kita yang datang dari jauh, dikatakan dari Singapura. Walaupun baru mendarat malam tadi, namun beliau nampak bertenaga sekali. Apa khabar saudari?
Panel Pertama : Alhamdulilah sihat Cik Pengerusi. Cik Pengerusi pula? 
Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga.
Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju biru, Puvaanah Mahendran seorang pensyarah universiti di Korea. Kami amat berbesar hati kerana beliau tidak keberatan meluangkan masa bersama kami di Malaysia. Walaupun sebenarnya beliau masih sibuk akan pengajiannya di sana. Selamat sejahtera dan selamat datang saudari.
Panel kedua: Selamat sejahtera pengerusi. Terima kasih.
Di hujung sana, nampak ayu tapi bijak berkata-kata, saya diberitahu bahawa beliau baru pulang dari kursus perubatannya di United Kingdom. Selamat datang saudari.
Panel ketiga: Terima kasih cik pengerusi.
Baiklah, sbelum kita berbincang dgn lebih mendalam, boleh saudari panel pertama  jelaskan definisi rokok dengan lebih terperinci?
Panel pertama: Rokok adalah silinder dari kertas berukuran panjang antara 70 hingga 120 mm (bervariasi tergantung negara) dengan diameter sekitar 10 mm yang berisi daun-daun tembakau yang telah dicacah. Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup pada puntung rokok hujung yang lain. Ada dua jenis rokok, rokok yang berfilter dan tidak berfilter. Rokok biasanya dijual dalam bungkusan berbentuk kotak atau kemasan kertas yang dapat dimasukkan dengan mudah. Sejak beberapa tahun, bungkusan-bungkusan tersebut juga disertai pesanan kesihatan yang menunjukkan bahayanya menjadi seorang perokok. Penyakitnya seperti, kanser paru-paru dan serangan jantung.
Pengerusi: Terima kasih saudari panel pertama. Sungguh jelas bahawa merokok mampu menyebabkan penyakit yang memberhayakan kesihatan. Seterusnya, soalan saya pada panel kedua, apakah kandungan yang boleh kita dapati di dalam rokok ?
Panel Kedua : Terima kasih kepada saudari pengerusi. Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.
Pengerusi : Terima kasih kembali kepada panel kedua kita. Sebentar tadi panel kedua ada menyatakan bahawa terdapat tiga racun yang paling penting di dalam rokok iaitu tar, nikotin, dan karbon monoksida. Bolehkah saudari panel ketiga menerangkan kenapa tiga bahan ini dianggap paling berbahaya ?
Panel Ketiga : Soalan yang amat menarik saya akan menerangkan satu persatu. Tar
mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Manakala Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan menyebabkan ketagihan. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya.Dan yang terakhir
Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat.
Pengerusi : Terima kasih kepada panel ketiga kita, sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa rokok itu sendiri boleh membawa kemudaratan terhadap diri. Jika dua panel kita tadi menerangkan tentang kandungan berbahaya yang terdapat di dalam rokok saya ingin meminta panel pertama kita untuk menghuraikan apakah kesan yang boleh disebabkan oleh asap rokok pada perokok dan orang sekeliling ?
Panel Pertama : Antara kesan asap rokok kepada perokok dan orang sekeliling ialah kanser paru-paru, trakea, bronkus, mulut dan esofagus (saluran pemakanan), di mana 90 peratus penyakit kanser paru-paru berpunca daripada tabiat merokok. Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa terdapat lebih empat ribu bahan-bahan kimia yang terdapat pada asap rokok sebagai menyebabkan kanser. Perokok pasif ialah orang yang tidak merokok namun diistilahkan sebagai perokok kerana mereka menyedut asap rokok daripada perokok di sekeliling. Percaya atau tidak, risiko penyakit yang dihadapi perokok pasif berkali ganda lebih daripada perokok.
Pengerusi: Panel kita yang pertama tadi menerangkan impak asap rokok pada perokok dan orang sekeliling daripada sudut kesihatan. Soalan saya kembali kepada panel kedua, bolehkan saudari jelaskan impak asap rokok atau rokok itu sendiri dari sudut ekonomi dan personaliti.
Panel Kedua : Daripada segi ekonomi, secara purata, perokok membelanjakan wang lebih kurang RM1,000 setiap tahun untuk merokok. Manakala rawatan perubatan dengan anggaran RM240 setahun. Ini bermakna perokok membazirkan wang mereka dengan banyak sepanjang hidup mereka. Oleh itu perbuatan merokok samalah seperti membakar duit sendiri. Kemudian daripada sudut personaliti, asap rokok meninggalkan bau pada rambut, baju, bibir kering, gigi berwarna kekuningan, manakala pernafasan yang berbau pula menjejaskan hubungan sosial.
Pengerusi: Pepatah Arab ada menyatakan bahawa tiada penyakit yang tidak boleh diubati melainkan maut. Kepada panel ketiga bolehkah saudari jelaskan tentang kaedah yang betul untuk berhenti daripada tabiat merokok?
Panel Ketiga:Terima kasih saudari pengerusi, di antara Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok ialah pertama tetapkan tarikh untuk berhenti merokok. Anda juga mesti mengatakan pada diri anda bahawa "Aku bukan perokok". Selain itu anda mesti menumpukan apa sahaja yang anda lakukan untuk melupakan tabiat merokok. Sentiasa berfikiran positif juga penting. Anda juga perlu mendapatkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.Yang paling penting adalah melawan keinginan untuk merokok.
Panel Pertama : Maafkan saya saudari pengerusi, saya ingin menambah sedikit apa yang dikatakan saudari panel ketiga.
Pengerusi: Silakan saudari.
Panel Pertama : Terima kasih. Kita sedia maklum bahawa tabiat merokok dewasa ini bermula dariapada usia remaja lagi. Oleh itu ibu bapa adalah kaunselor terbaik kepada anak-anak yang merokok. Jangan dibiarkan sahaja mereka dengan tabiat ini. Kata orang sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan. Ibu bapa perlu menggunakan pendekatan yang tidak terlalu tegas dan tidak pula terlalu lembut. Anak-anak ini jangan diberikan bunga sahaja, atau hanya diberi rotan sahaja. Tetapi gunakan kedua-duanya, insyaallah akan berkesan pada jiwa mereka.
Pengerusi: Terima kasih saudari. Jika panel ketiga dan panel pertama kita tadi menyebutkan tentang kaedah berhenti merokok, saya pasti memang ramai yang tertanya-tanya tentang apakah pula faedahnya kepada seseorang individu walaupun saya rasa jawapannya sudah berlegar-legar di minda para penonton. Untuk mengusaikan kekusutan ini saya minta panel kita yang ketiga untuk menjelaskan faedah berhenti merokok.
Panel Ketiga : Diantara Faedah Berhenti Merokok ialah kita insyaallah akan hidup lebih lama selain itu kita juga dapat menghindari racun.Kemudian kita juga dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok.Keupayaan deria rasa dan bau kita juga akan meningkat, gigi lebih putih dan nafas lebih segar dan terakhir dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.
Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”.
Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan untuk diri sendiri kerana berjaya dan tekun mendengar perbincangan kita hari ini.(tepuk tangan).Kesimpulannya tabiat merokok perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan diri kita tetapi juga orang lain. ”pengayuh sudah ditangan perahu sudah di air" ”fikir-fikirkan dan jangan sekali berhenti berfikir!" Usah menepuk dada menanya selera tetapi tepuklah dahi, bukalah minda, dan fikir-fikirkanlah! Rokok setiap sedutan membawa padah!!
Terimalah serangkap pantun indah daripada saya
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Salam hormat, ceria-ceria selalu.
Sekian sahaja untuk hari ini, jikalau terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri.
Wallahu’alam
Akhir pantun,
Orang putih, orang Pakistan,
Terima kasih syukran jaziilan.
Saya akhiri forum remaja kita pada pagi ini dengan lafaz yang mulia.
Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh.